Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak

JOHOR BAHRU – Seorang penyelia penyelenggara sebuah syarikat swasta rugi RM149,291 selepas diperdaya skim pelaburan tidak wujud baru-baru ini.

Mangsa yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun membuat laporan diperdaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superitendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, warga emas tersebut mendakwa diperdaya skim pelaburan saham dalam talian bernama saham Q-She.

“Mangsa ditawarkan pulangan segera sebanyak 15 peratus daripada modal yang dilaporkan.

“Percaya dengan keuntungan yang ditawarkan dan keinginan mencuba perkara baharu, mangsa melakukan 10 transaksi ke dalam enam akaun bank yang berbeza.

“Transaksi itu dilakukan dari 27 Ogos hingga 14 Oktober lalu melibatkan RM149,291 untuk mendapatkan keuntungan yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa cucba menuntut keuntungan yang dijanjikan pada 15 Oktober lalu namun suspek memberikan pelbagai alasan dan mengharapkan lelaki itu membuat bayaran tambahan.

Menurutnya, mangsa kemudian tersedar ditipu sebelum membuat laporan polis.

Tambah beliau, kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu, jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun atau maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda.

“Siasatan juga akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.

“Polis menasihati orang ramai agar berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan pelaburan mudah, cepat dan tinggi,” ujarnya.

Mohd Sohaimi berkata, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan dalam talian disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil seperti National Scam Response Centre, CCID Infoline, Semak Mule dan Facebook JSJK polis bagi mendapatkan maklumat. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here