KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sedang meneliti kerangka perlindungan sosial yang baharu untuk memberi perlindungan keselamatan sosial 24 jam sehari dan menyeluruh di luar waktu bekerja kepada 7.6 juta perkerja.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, secara prinsipnya kerangka baharu itu berupaya merapatkan jurang ketidaksaksamaan, sekaligus memastikan tiada pekerja tercicir daripada mendapat perlindungan.
Katanya, pada masa sama Perkeso menyediakan insurans perlindungan sosial menerusi Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan kepada Orang Berinsurans yang layak di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (AKTA 789) dan Akta Keselamatan Sosial Suri Rumah 2022 (AKTA 838).
“Faedah yang disediakan di bawah Skim Bencana Kerja adalah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, elaun layanan sentiasa, faedah pengurusan mayat dan kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional.
“Di bawah Skim Keilatan terdapat faedah pencen ilat, bantuan ilat, elaun layanan sentiasa, pencen penakat, kemudahan pemulihan jasmani atau vokasional atau return to work atau dialisis, faedah pengurusan mayat dan faedah pendidikan serta faedah perubatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan V Sivakumar (PH-Batu Gajah) berhubung tarikh skim insurans sosial komprehensif yang akan dilancarkan bagi melindungi pekerja berpendapatan rendah susulan peningkatan kos sara hidup yang mengurangkan kemampuan mendapatkan insurans kesihatan swasta.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, skim berkenaan turut menyediakan faedah perubatan, yang mana orang berinsurans yang layak boleh mendapatkan perkhidmatan rawatan perubatan secara percuma atau pun secara tuntutan bayaran ganti belanja berdasarkan kadar yang diluluskan oleh Perkeso dan tertakluk kepada Akta Fi 1951 di mana-mana klinik atau hospital kerajaan ataupun swasta yang berdaftar dengan Perkeso.
“Dengan kadar caruman yang rendah, pencarum layak mendapat faedah-faedah perubatan di bawah Akta yang secara langsung dapat membantu rakyat khususnya pencarum-pencarum dalam kalangan B40,” tambahnya. – MalaysiaGazette