Menteri KPKT, Nga Kor Ming bercakap dalam sidang media khas majlis Pra-Pelancaran Anugerah Kredit Madani di ibu negara, hari ini.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengambil langkah drastik dengan menyekat ahli keluarga syarikat pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek mereka ke luar negara.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, pihaknya berhasrat untuk melaksanakan hukuman seumpana itu kepada ahli keluarga kepada mana-mana syarikat pemaju perumahan yang disenaraihitamkan.

“Kita ada hasrat untuk pinda Akta Pemaju Perumahan 1996 (Pelesenan dan Kemajuan) di mana kita akan perketatkan lagi syarat untuk pemaju perumahan.

“Saya bagi contoh jika pindaan itu berjaya, mana-mana pemaju yang terlibat dalam penipuan mereka akan dilarang keluar negara dan disenaraihitamkan.

“Bukan hanya pemaju, tapi ahli keluarga mereka juga untuk pastikan supaya pemaju perumahan betl-betul jujur untuk membela hak mereka,” katanya kepada media dalam sesi libat urus Menteri KPKT berkenaan Belanjawan kementerian itu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu memaklumkan bahawa pemaju projek perumahan terbengkalai berkemungkinan dihalang daripada meninggalkan negara dalam masa terdekat.

Aiman berkata, langkah tersebut adalah sebahagian daripada tindakan punitif terhadap pemaju perumahan yang ingkar berikutan cadangan pindaan undang-undang perumahan.

Selain itu, Aiman berkata, butiran mengenai pemaju perumahan dan projek yang terjejas, yang terbengkalai atau menghadapi masalah akan dipaparkan dalam Sistem Bank Data Perumahan Negara (Teduh).

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, dalam tempoh dua tahun, KPKT telah berjaya menyelamatkan 704 projek perumahan swasta yang sakit dan terbengkalai.

“Jumlah nilai GDP adalah RM58.94 bilion dan jumlah pembeli rumah yang sudah berjaya mendapat kunci dan selamatkan adalah 82,354 orang,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here