Ahmad Dasuki Abdul Majid (empat dari kiri) menyerahkan replika kad sumbangan CSR PTPTN kepada Vivian Koh Lik Ting di Pasir Masir, Kelantan.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sentiasa prihatin dengan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk kebajikan pelajar.

Melalui Program Ziarah Kasih, PTPTN telah menyantuni dan menyampaikan bantuan kepada Vivian Koh Lik Ting di kediaman beliau di Pasir Mas, Kelantan.

Program berkonsepkan ziarah dan ramah mesra ini merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN
bertujuan untuk memberi motivasi, pendedahan dan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dalam mengubah kehidupan diri dan keluarga.

Sesi penyerahan sumbangan telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Kelantan, Prof. Dr. Mohammad Ismail; Pengerusi Yayasan Raja Shamri, Raja Shamri Raja Husin;  Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN, Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Kelantan, Hamdan Razali.

Atas keprihatinan, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim turut mengadakan video call bersama Vivian semasa Program Ziarah Kasih tersebut diadakan.

Vivian merupakan anak sulung daripada empat orang adik beradik yang dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan.

Walaupun dihimpit dengan keperitan hidup, Vivian tidak pernah mengabaikan pendidikan sehingga beliau berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Beliau telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, Kota Bharu Kelantan.

Namun tawaran tersebut terpaksa ditolak atas sebab kekangan kewangan dan keluarga tidak mampu untuk membiayai kos
pengajian tersebut.

Sehubungan itu, PTPTN bersama UMK dan Yayasan Raja Shamri (YRS) telah tampil bekerjasama untuk membantu merialisasikan harapan saudari Vivian melanjutkan pengajian beliau.

Melalui program ini, PTPTN memberikan sumbangan CSR berjumlah RM1,000 dalam bentuk akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).

Selain itu, PTPTN juga akan menyalurkan bantuan dalam bentuk dana myWaqafPTPTN yang merupakan produk wakaf pendidikan tinggi hasil kerjasama strategik antara PTPTN dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) sebagai salah satu inisiatif untuk mempelbagaikan sumber dana PTPTN bagi tujuan pendidikan tinggi selain melalui pinjaman pendidikan sedia ada.

Antara tujuan utama myWaqafPTPTN adalah sebagai instrumen pengagihan semula kekayaan bagi pembangunan pendidikan negara dalam kalangan mahasiswa yang terdiri dari berbilang bangsa melalui alternatif bantuan pendidikan berbentuk biasiswa iaitu wakaf tunai PTPTN.

Sementara itu, YRS juga turut memberi sumbangan berupa kelengkapan barang keperluan bagi persediaan melanjutkan pengajian ke universiti bagi meringankan beban keluarga Vivian.

Rombongan ziarah PTPTN bersama YRS juga telah mengambil
inisiatif untuk menghantar saudari Vivian mendaftar masuk ke UMK dengan menaiki kenderaan yang disediakan YRS dan telah disambut oleh Dekan Fakulti Hospitaliti, Pelancongan dan Kesejahteraan (FHPK) UMK, Prof. Madya Dr. Mohd Fadil Mohd Yusof.

Vivian Koh Lik Ting dihantar mendaftar di UMK oleh Ahmad Dasuki Abdul Majid, bersama Raja Shamri Raja Husin.

Bantuan kepada Vivian tidak hanya terhenti di situ, beliau juga layak untuk menerima bantuan Program Pembangunan Siswa Sulung 2.0 di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Program ini merupakan antara usaha untuk mencapai aspirasi
global dan nasional yang dilaksanakan bagi membantu anak pertama daripada keluarga B40 yang berjaya menjadi wakil pertama keluarga ke Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).

Melalui Program Sulung ini, pelajar akan diberi bantuan daripada segi kewangan, di mana pelajar yang berkelayakan akan menerima pengecualian pembayaran yuran.

Ia dapat memudahkan pelajar agar mereka tidak perlu lagi menanggung beban hutang pinjaman yang tinggi.

Menurut Norliza, sumbangan yang disalurkan adalah satu langkah penting dalam usaha PTPTN untuk memastikan setiap pelajar
mempunyai akses kepada pendidikan tinggi.

“Kami percaya bahawa pendidikan adalah asas kepada pembangunan individu dan masyarakat. Dengan bantuan ini, kami berharap dapat mengurangkan beban kewangan pelajar dan memberi mereka peluang untuk mencapai impian.

“Sumbangan ini ialah simbol keprihatinan kami terhadap masa depan pendidikan di negara. PTPTN menyambut baik kerjasama yang dijalinkan bersama UMK dan YRS bagi menjayakan program pada hari ini.

“Oleh yang demikian, program seumpama ini akan diperluaskan lagi merangkumi lebih ramai pelajar yang memerlukan dan turut akan diadakan di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Politeknik terpilih kelak.

“Saya juga menyeru agar syarikat-syarikat korporat dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) untuk berwakaf melalui myWaqaf PTPTN dalam usaha membantu lebih ramai golongan mahasiswa terutama generasi akan datang sekali gus memastikan kelestarian pendidikan tinggi,” tambah beliau lagi. – MlaaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here