Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman

KUANTAN – Orang ramai dinasihati merujuk kepada maklumat ramalan cuaca dikeluarkan METMalaysia dan tidak membuat perkongsian analisa cuaca oleh orang perseorangan menerusi laman media sosial masing-masing.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, tindakan berkongsi analisa ramalan cuaca yang dibuat oleh orang perseorangan itu dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan komuniti setempat.

“Seperti mana sedia maklum, dalam sehari dua ini ada individu yang merasakan pandai menginterpretasi berkaitan analisis ramalan cuaca.

“Namun, seperti Sekreteriat Jawatankuasa Pengurusan Bencana maklumkan beberapa minggu lepas, rakyat dan media boleh dapatkan info yang sahih dan sah daripada badan yang layak yang telah disahkan oleh pihak kerajaan Malaysia iaitu METMalaysia berkaitan dengan ramalan cuaca dan sebagainya.

“Sebab apa, apabila disebarkan dengan cara berkenaan, akan menggusarkan komuniti setempat berkaitan dengan perkara yang tidak kita ketahui.,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak METMalaysia akan memaklumkan perkara berkaitan perubahan cuaca dan implikasi amaran hujan lebat dari masa ke semasa.

Tambahnya, METMalaysia telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan berhubung Ribut Tropika Kuat Trami yang aktif di Laut China Selatan.

Menurut METMalaysia, ribut yang dijangka bergerak ke barat menghala ke Vietnam akan menyebabkan peningkatan kelajuan angin di rantau negara sehingga 28 Oktober dan berpotensi membawa hujan berterusan di barat Sabah serta pembentukan garis badai di utana dan Pantai Timur Semenanjung dalam tempoh tersebut. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here