KUANTAN – Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al-Sultan Abdullah selamat disatukan dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan pada jam 8.59 malam tadi.
Beliau dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Tengku Adnan Tengku Mansor di majlis di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.
Istiadat perkahwinan diraja itu disaksikan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang mengenakan persalinan berona hijau bersama paduka-paduka anakanda.
Majlis ijab dan qabul dan lafaz pengisytiharan perkahwinan disempurnakan oleh Mufti Pahang, Professor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Sejurus itu kedua-dua mempelaiyang berbusana putih duduk di singgahsana pelamin bagi istiadat penyerahan mas kahwin berupa senaskah al-Quran dan istiadat menyarung cincin.
Manakala Istiadat Merenjis disempurnakan oleh Sultan Pahang dan Tengku Ampuan Pahang serta Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah disusuli kedua ibu bapa pengantin perempuan.
Esok, Istiadat Berinai akan dijalankan diikuti Istiadat Persandingan Diraja akan berlangsung pada 27 Oktober 2024 yang mana kedua-duanya akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8 malam.
Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram yang juga diadakan di Istana Abdulaziz pada 28 Oktober sebelum Istiadat Menutup Kerja diadakan dengan acara menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam.
Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Bandar Diraja Pekan.
Beberapa acara seperti karnival jualan turut diadakan di kedua-dua lokasi sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Diraja berlangsung. – MalaysiaGazette