Suspek samun berkumpulan yang melarikan patung sembahyang dan barang kemas bernilai RM600,000 di sebuah rumah Pandamaran, Klang dibawa oleh anggota polis bagi didakwa di Mahkamah Klang. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2024.

KLANG – Lima lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang di sebuah rumah di Jalan Jagong, Pandamaran pada 3 Oktober lalu.

Kelima-lima individu yang dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini adalah Linggeshwaran a/l Muniandy, Tamil Kumaran a/l Paneer Selvam, Siva Avl Ganasen, Thamilarasan a/l Tajandran serta Nagen a/l Saravanan.

Linggeshwaran diwakili oleh peguamnya Reenajit Kaur, Tamil dan Nagen pula diwakili oleh SK Loges Kesavan.

Manakala dua lagi tertuduh iaitu Siva dan Thamilarasan diwakili oleh Mohamad Fauzi Abdul Samad.

Berdasarkan pertuduhan, semua tertuduh pada jam 6.16 pagi bersama-sama merompak sebuah rumah di Jalan Jagong, Pandamaran terhadap harta milik Segaran a/l Ramakasnin berupa patung berhala bernilai lebih kurang RM74,500.

Kesemua mereka dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Athirah Amran mencadangkan supaya mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM50,000 kepada tertuduh berdasarkan keseriusan jenayah yang dilakukan mereka.

Kesemua peguam yang mewakili tertuduh merayu supaya mahkamah menetapkan jumlah jaminan paling minimum berdasarkan kekangan kewangan anak guam masing-masing.

Selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah pendakwaan, Hakim, Sharifah Hascindie Syed Omar menetapkan jaminan RM10,000 untuk setiap tertuduh.

Beliau turut mengarahkan semua tertuduh melaporkan diri ke balai polis berdekatan.

Dalam masa sama, mereka semua dilarang mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Sementara itu, beliau menetapkan tarikh sebutan kes tersebut pada 8 Januari 2025.

Sebagai rekod, media pada 4 Oktober lalu melaporkan sebuah keluarga menempuh detik menakutkan apabila banglo tiga tingkat yang didiami di Pandamaran dimasuki sekumpulan penjenayah berparang dan melarikan wang serta barangan.

Kejadian itu turut mengakibatkan seorang mangsa lelaki berusia 37 tahun cedera ditetak pada bahu.

Ekoran itu, polis mengesahkan penahanan 10 individu yangdisyaki terbabit dalam jenayah itu.

Difahamkan modus operandi kumpulan itu adalah dengan mengenal pasti rumah yang mudah untuk dipecah masuk dan mereka juga mempunyai sistem jenayah terancang serta profesional. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here