KUALA LUMPUR – Bidaan nombor pendaftaran istimewa (NPI) Siri MADANI yang dibuka pada 19 hingga 23 Oktober lalu berjaya merekodkan kutipan keseluruhan sebanyak RM2.62 juta.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, MADANI 6 antara NPI yang dibida dengan harga paling tinggi iaitu RM68,888.

Ia diikuti dengan MADANI 5 (RM58,001), MADANI 4 (RM55,000), MADANI 3 (RM51,111) dan MADANI 33 dengan nilai bidaan RM42,110.

“Jumlah penyertaan keseluruhan bidaan NPI itu telah menarik seramai 5,632 orang dan 3,263 pembida berjaya memenangi nombor pendaftaran masing-masing.

“NPI Siri MADANI ini juga menunjukkan sambutan daripada pembida dalam menyokong agenda Malaysia MADANI yang secara tidak langsung mempromosikan nilai MADANI yang menjadi cerminan jiwa dan aspirasi negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, beliau memaklumkan terdapat lima nombor paling banyak dibida, iaitu MADANI 1118 merekodkan 17 pembida, MADANI 8055 (15 pembida), MADANI 998 (13 pembida), MADANI 1305 (13 pembida) dan MADANI 113 (12 pembida).

“JPJ ingin mengucapkan tahniah kepada pembida yang berjaya menerima keputusan rasmi semalam. Terima kasih juga kepada semua pembida yang menyertai bidaan ini bagi mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan pilihan masing-masing melalui Sistem JPJeBid.

“Hasil bidaan NPI Siri MADANI merupakan usaha Kementerian Pengangkutan untuk merealisasikan hasrat kerajaan dalam menjayakan pelaksanaan pelbagai inisiatif kementerian itu untuk rakyat seperti Program MyLESEN, Program Pertukaran Topi Keledar dan subsidi FlySISWA,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here