KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh akan bersemuka dengan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok di mahkamah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu menegaskan dia tidak takut dengan saman yang dikemukakan Teresa hari ini.
https://malaysiagazette.com/2024/10/25/teresa-failkan-saman-fitnah-terhadap-akmal/
Katanya, dia akan berhadapan dengan Teresa walaupun jika terpaksa bersendirian menentang Ahli Parlimen Seputeh itu.
“Suka saya nak maklumkan bahawa hari ini peguam saya telah menerima writ terpinda dan pernyataan tuntutan terpinda daripada Teresa Kok yang dalam kata bahasa mudahnya, Teresa Kok telah memulakan samannya ke atas saya.
“Insya-Allah kita akan lawan habis-habisan di mahkamah nanti. Saya takut?? Tidak ada sekelumit perasaan takut langsung dalam diri saya ni untuk berdepan dengan dia.
“Bukan anak jantan Melayulah kalau saya takut nak berdepan dengan puak-puak ini walaupun terpaksa berhadapan sendirian! Jumpa di mahkamah nanti! Lebih baik mati berdiri dari hidup berlutut,” katanya dalam kenyataan.
Peguam mewakili Teresa, Tetuan SN Nair & Partners dilaporkan berkata, pihaknya sudah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Dr Akmal.
Difahamkan Teresa telah menuntut ganti rugi RM25 juta serta kos-kos lain dalam surat tuntutannya kepada Dr Akmal.
Ini berkaitan berhubung kenyataan fitnah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Melaka dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.
Dalam tuntutannya, Teresa memohon injunksi untuk menghalang Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri itu, daripada terus menyebut, menulis atau menerbitkan perkataan yang memfitnahnya serta relif lain yang difikirkan adil serta sesuai oleh mahkamah.
Dakwa pemimpin DAP veteran itu, kenyataan Muhamad Akmal menggambarkannya tidak mempunyai pengetahuan khususnya mengenai pensijilan halal dan menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.-MalaysiaGazette