Cerun runtuh di Kilometer 43.4 Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands hari ini.

IPOH – Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands ditutup sepenuhnya bagi kedua-dua arah mulai 5 petang ini susulan insiden cerun runtuh yang berlaku di Kilometer 43.4 di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penutupan penuh itu terpaksa dilakukan disebabkan masih terdapat pergerakan tanah di lokasi terjejas sekali gus berisiko untuk dilalui semua jenis kenderaan.

“Pihak polis telah menjalankan kawalan lalu lintas di sepanjang laluan terjejas bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya sebaik kita menerima aduan berhubung insiden cerun runtuh di Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands itu.

“Selain terdapat pergerakan tanah, laluan tersebut juga ditutup bagi memberi laluan kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak untuk melakukan kerja-kerja pembersihan jalan bagi memastikan keadaan kembali selamat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Abang Zainal Abidin, semua pengguna jalan raya disarankan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tapah – Cameron Highlands sepanjang tempoh penutupan ini.

“Kita nasihatkan pengguna jalan raya rancang perjalanan mereka bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here