Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berucap ketika menghadiri Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Tahun 2024, di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto SADIQ SANI, 25 OKTOBER 2024

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan terus memantau pintu masuk negara ini termasuk di lapangan terbang antarabangsa di seluruh negara susulan kes ‘counter setting’.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya memberi tumpuan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana ia merupakan pusat keluar dan masuk negara ini.

“Kita sentiasa memantau semua lapangan terbang yang mana ia adalah sebagai satu pintu masuk kepada warga luar ke negara ini cuma kita lihat paling besar adalah di KLIA, dan bertumpu di sana.

“Mungkin kegiatan ini ada berlaku di tempat lain memandangkan ada negeri mempunyai pintu masuk yang perlu melalui pemeriksaan Imigresen. Justeru, pintu-pintu masuk ini (di negeri lain) juga dibuat pemantauan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Apresiasi Penambahbaikan Tatakelola Agensi (APTA) Tahun 2024, di Ibu Pejabat SPRM di sini, hari ini.

SPRM sebelum ini membongkar kegiatan sindiket membawa masuk warga asing, termasuk dari Myanmar, Bangladesh, Indonesia, India, Pakistan, dan Nepal, melalui pintu masuk negara tanpa pemeriksaan pihak berkuasa.

Sindiket berkenaan disyaki didalangi beberapa penguat kuasa sebuah agensi yang bertugas di pintu masuk negara, dengan menjadi tali barut bagi melepaskan kumpulan warga asing yang tiba tanpa melalui prosedur ditetapkan, menerusi modus operandi counter setting. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here