KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang wanita ditahan pada sekatan jalan raya di Banggol Kong, Pasir Mas, Kelantan, petang semalam kerana disyaki cuba menyeludup warga asing ke negara ini.
Jurucakap Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara berkata, tangkapan melalui Op Taring Wawasan itu membabitkan dua warga China yang dipercayai cuba diseludup masuk dan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan seorang wanita warga Thailand berusia 34 tahun, yang dipercayai bertindak sebagai tekong.
“Operasi yang diketuai oleh anggota Batalion 8 PGA itu berjaya menahan sebuah kenderaan jenis Mazda CX5 sekitar jam 5.30 petang dalam keadaan mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati dua lelaki China tersebut gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah.
“Dua suspek menjadi tekong dipercayai terlibat dalam penyeludupan dua warga China tersebut melalui jalan tidak sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada operasi itu, PGA turut merampas kenderaan yang dianggarkan bernilai RM150,000, lima telefon bimbit bernilai RM14,000, wang tunai mata wang Thailand berjumlah RM5,949 dan RM700.
Menurutnya, dua warga China yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kedua-dua tekong akan disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007. – MalaysiaGazette