Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memulakan majlis berinai sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al- Sultan Abdullah  dengan Tengku Natasha Puteri Tengku Adnan

KUANTAN – Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memulakan majlis berinai sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Al- Sultan Abdullah  dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan di Istana Abdulaziz malam ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Temenggung dimulai dengan meraikan pengantin perempuan diiringi dua pengapit yang juga kekandanya masuk ke ruang dewan.

Setelah selesai majlis berinai di pihak pengantin perempuan, istiadat itu diteruskan dengan meraikan pengantin lelaki yang diriingi dua kekandanya sebagai pengiring.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memulakan istiadat tersebut di sebelah pihak puteranya.

Kedua-dua pengantin berbusana biru muda tampak manis dan berseri-seri sepanjang majlis yang berlangsung kira-kira lebih sejam.

Istiadat ditutup dengan bacaan doa oleh Mufti Pahang, Profesor Datuk Dr. Asmadi Mohamed Naim dengan iringan gamelan bersama 16 jejawat yang menjaga barang istiadat.

Pada Ahad ini Istiadat Persandingan dijadualkan akan berlangsung jam 8 malam di Istana AbdulAziz di sini.

Istiadat Persandingan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Bandar Diraja Pekan.

Manakala pada  28 Oktober pula akan berlangsung Istiadat Santap Nasi Adap-Adapan dan Istiadat Bersiram yang juga diadakan di Istana Abdulaziz sebelum Istiadat Menutup Kerja diadakan dengan acara menurunkan Bendera Istiadat Menutup Kerja diikuti dengan 16 das tembakan meriam.

Terdahulu Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengisytiharkan Istiadat Meletak Kerja di Istana Abdulaziz pada pagi 22 Oktober lalu.

Semalam waris ganti kedua Sultan Pahang Tengku Muhammad Iskandar sah bergelar suami kepada Tengku Natasya Puteri berwalikan bapanya dengan sekali lafaz tepat pukul 8.59 malam tadi. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here