Timbalan Menteri Perlancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan tiba di Kompleks Kraf Kuala Lumpur bagi merasmikan Karnival Cuti-Cuti Malaysia 2024

KUALA LUMPUR – Tourism Malaysia melancarkan Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 dengan pendekatan baharu yang memfokuskan pelancongan seni, budaya, dan warisan dalam usaha menarik minat pelancong domestik di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, karnival bertemakan “Crafting Holidays” memperlihatkan kerjasama Tourism Malaysia dengan Kraftangan Malaysia serta agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), mencipta konsep percutian yang menggabungkan elemen tradisional seperti kraf, seni, dan makanan warisan untuk memberikan pengalaman pelancongan unik.

“Saya lihat salah satu tarikan utama karnival ini ialah Pakej Kompleks Kraf yang menawarkan lawatan berpandu di empat kompleks kraf utama di Malaysia iaitu Kuala Lumpur, Langkawi, Johor, dan Melaka.

“Setiap kompleks memiliki keunikan tersendiri seperti pusat jualan kraf, galeri warisan, perkampungan pelukis, taman etno kraf, dan taman madu kelulut yang memperlihatkan kekayaan warisan seni kraf tempatan,” katanya dalam ucapan ketika merasmikan Karnival Cuti-Cuti Malaysia (KCCM) 2024 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Tourism Malaysia turut memperkenalkan aplikasi “Craft On The Go” (COTG) untuk memudahkan pelancong mendapatkan maklumat mengenai produk kraf dan lokasi pusat jualan di seluruh negara.

Aplikasi ini membolehkan pengguna melihat profil pengusaha, butiran produk, serta lokasi outlet yang berhampiran, selain menyediakan akses mudah ke akaun media sosial para pengusaha kraf.

Sementara itu, MOTAC dalam kenyataannya berkata, kolaborasi tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran pelancongan domestik yang mengintegrasikan elemen tradisional Malaysia dalam pakej percutian.

“Karnival ini yang dijangka menarik minat pelancong untuk memilih Malaysia sebagai destinasi utama mereka, bukan hanya untuk berehat tetapi juga mendalami seni, budaya, dan warisan tempatan.

“Dengan usaha ini, kerajaan berharap dapat menyemarakkan kembali sektor pelancongan domestik sekaligus memperkasa industri kraf dan budaya tanah air,” ujarnya.

Karnival ini menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan produk tempatan serta mewujudkan peluang jaringan untuk usahawan kraf mempromosi hasil tangan mereka kepada khalayak yang lebih luas. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here