Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Permohonan maaf kepada rakyat Malaysia oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan meraih simpati namun ia merupakan tindakan seorang pemimpin yang berjiwa besar.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau dapat merasakan bahawa kenyataan tersebut telah dibuat dengan suci hati serta lahir dari sanubari beliau yang ikhlas.

Jelasnya, tindakan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dizahirkan sebagai seorang yang dipertanggungjawabkan atas kesalahan yang beliau percaya sebenarnya tidak dilakukan dan setelah diperdaya oleh mereka yang mengambil kesempatan terhadapnya.

“Saya meneliti kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Yang Hormat Datuk Seri Mohd Najib Tun Abd Razak bertarikh 24 Oktober 2024.

“Saya berpandangan bahawa  kenyataan media tersebut juga menjelaskan betapa Najib sepanjang menjalankan tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri ketika itu, sentiasa memikirkan hanya yang terbaik untuk rakyat.

“Bahkan sehingga ada pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan ke atas keprihatinan beliau untuk menjaga kebajikan rakyat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Justeru Menteri Besar Pahang itu berdoa dan berharap agar bekas Perdana Menteri keenam itu dibebaskan dan keadilan dapat ditegakkan dengan membawa dalang kes 1MDB ke muka pengadilan.

Semalam Najib memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, bekas Perdana Menteri itu mendakwa telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikulnya walaupun dengan jelas beliau bukanlah dalang kepada skandal itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here