Sri KDU Schools Foto FB

KUALA LUMPUR- Sebuah sekolah swasta di Kota Damansara diarah tutup hingga awal bulan depan disebabkan sekumpulan pelajarnya terkena keracunan selepas makan di kantin sekolah.

Dalam kenyataannya, Sri KDU Schools berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai usaha untuk mencegah jangkitan dan dalam masa sama memberi sokongan terhadap pelajar yang tidak sihat.

Tambahnya, perkhidmatan katering sekolah tersebut juga telah diperiksa oleh Kementerian Kesihatan.

“Inspektor kesihatan telah menyemak prosedur dapur dan mengambil beberapa sampel untuk diuji.

“Kami akan terus memberikan kerjasama bagi mengenal pasti punca jangkitan dan melaksanakan sebarang cadangan bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” katanya dalam satu kenyataan.

Tanpa menyebut bilangan pelajar yang terlibat, Sri KDU memaklumkan, kebanyakan pelajar yang menerima rawatan di hospital terutamanya akibat dehidrasi, telah pun dibenarkan keluar dan sedang berehat di rumah.

“Hanya seorang sahaja kanak-kanak masih menerima rawatan, namun dia menunjukkan tanda semakin pulih,” katanya lagi sambil menambah ujian yang dilakukan di hospital mengesahkan kanak-kanak terbabit dijangkitan wabak norovirus.

Menurut kenyataan itu, sekolah akan memulakan semula operasi pada Isnin, 4 November depan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here