KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan melakukan satu koordinasi dengan semua institusi pendidikan MARA termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk mempermudahkan dan mempercepatkan urusan permohonan pembiayaan.
Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dibuat hasil perbincangan dengan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA dan pegawai-pegawai tertinggi Bahagian Penganjuran MARA hari ini.
Ujarnya, beliau meletakkan sasaran pengurangan tempoh dari empat bulan ke dua bulan untuk pelajar di bawah institusi pendidikan MARA mendapat pembiayaan berbanding antara empat ke lima bulan seperti ketika ini.
“Ini bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar terutamanya golongan miskin dan berpendapatan rendah dapat belajar dengan selesa tanpa tekanan kewangan hingga terpaksa mengikat perut lantaran kelewatan proses kelulusan pembiayaan pengajian mereka.
“Doakan agar segalanya dipermudahkan. InsyaAllah,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau, hari ini.
Menurut Asyraf, langkah itu juga susulan permintaan pelajar UniKL British Malaysian Institute (UniKL BMI) supaya pembiayaan mereka dipercepatkan ketika beliau mengadakan lawatan ke institusi pengajian itu minggu lalu. – MalaysiaGazette