Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali. - Foto: FB Muhammad Rafique Rashid Ali

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dicabar menamakan setiap individu yang menjadi dalang serta bersekongkol dan sama-sama bersubahat menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) susulan permohonan maaf yang dibuat semalam.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, bekas Ahli Parlimen Pekan itu juga harus menamakan kesemua pegawai kerajaan, jabatan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Tambah beliau, individu-individu yang pernah menyatakan berjumpa Raja Arab atau tahu mengenai derma daripada kerajaan Arab juga mesti dinamakan kerana turut bersubahat, tidak kira pangkat atau status.

“Ini cabaran Pejuang pada Dato’ Sri Najib Razak.

“Kalau tidak, jangan salahkan rakyat yang kata bahawa maaf itu hanya di lidah sahaja, demi syarat mendapat kemudahan tahanan rumah yang giat ingin dijalankan sepertimana diperlihat dalam ucapan pembentangan Belanjawan Madani Ketiga,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook beliau semalam.

Anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Mohamad Nizar Najib bercakap kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 24 OKTOBER 2024.

Dalam pada itu, Muhammad Rafique turut mempersoalkan permohonan maaf Najib sedangkan ketika pentadbirannya, Pasukan Petugas Khas (Special Task Force) yang menyiasat 1MDB terdiri daripada Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ditamatkan tanpa alasan munasabah.

Dakwanya, ketika pentadbiran Najib juga, pemimpin utama seperti Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Tan Sri Muhyddin Yaasin dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dibuang daripada UMNO kerana kelantangan dan keberanian mempersoal isu 1MDB.

“Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga pelbagai pihak yang bersuara terhadap isu 1MDB dipanggil polis dan disiasat?

“Maaf, tetapi…bukankah pada zaman Dato’ Sri Najib juga Peguam Negara Apandi Ali sahkan tiada apa-apa keterangan salahlaku? Namun Mahkamah pula kemudiannya dapati bersalah atas keterangan yang sama.

“Ya, memaafkan itu amalan yang mulia. Malah yang lebih mulia adalah yang memohon maaf dan yang kemudian memaafkan,” katanya.

Semalam, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB iaitu enam hari sebelum Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB yang bermula lima tahun lalu.

Dalam kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.

Menurut kenyataan itu, Najib memaklumkan beliau berasa amat terluka mengetahui segala kecurangan berlaku dalam 1MDB ketika berada bawah pengawasan beliau sebagai Menteri Kewangan dan Perdana Menteri ketika itu. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here