Kebakaran teruk akibat pengeboman Israel. #malaysiagazette

GAZA CITY – Tentera penceroboh Israel melakukan satu lagi pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan di Jabalia, yang terletak di utara Semenanjung Gaza.

Menurut laporan Al-Mayadeen, serangan kejam tentera Israel menyebabkan sekurang-kurangnya 150 orang mati atau cedera.

Pasukan Awam Gaza mengesahkan bahawa tentera zionis dengan sengaja memusnahkan 11 rumah di Jalan al-Huja di Jabalia.

Penduduk yang diserang dilaporkan mengalami kesukaran yang teruk dalam memindahkan mayat para syuhada dan mengangkut yang cedera.

Laporan itu menyebut, pembunuhan beramai-ramai di Jalan al-Huja adalah sebahagian daripada strategi Israel untuk meningkatkan tekanan ke atas penduduk dan pelarian di Jabalia dan Beit Lahia untuk meninggalkan rumah mereka dan melarikan diri ke selatan Gaza.

Wartawan Al Mayadeen mengesahkan bahawa serangan udara Israel menyasarkan sebuah masjid di selatan Khan Yunis, mengakibatkan beberapa kecederaan.

Israel turut melakukan serangan dan pengeboman dari udara di sebuah sekolah di kem pelarian Nuseirat di tengah Gaza.

Sekolah itu melindungi orang awam yang kehilangan tempat tinggal yang melarikan diri daripada serangan Israel di Semenanjung yang dikepung.

Serangan itu menyebabkan 17 rakyat Palestin, termasuk 9 kanak-kanak terbunuh dan menyebabkan 52 yang lain cedera dengan ramai yang kritikal.

Dalam insiden lain, artileri Israel membedil bahagian timur kem pelarian al-Bureij, yang juga terletak di tengah Gaza.

Di utara Gaza, tentera pendudukan Israel memperhebatkan serangan mereka ke atas orang awam, termasuk serangan udara di kawasan kejiranan al-Zeitoun, tenggara Kota Gaza, dan khemah pelarian di Sekolah Abu Hussein di kem pelarian Jabalia.

Israel yang mendapat sokongan Amerika Syarikat yang membekalkan bom dan senjata telah membunuh lebih 42,000 penduduk Palestin di Gaza dan Tebing Barat kebanyakan mangsa adalah bayi, kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Regim Yahudi itu turut memusnahkan sumber air, kediaman, hospital, pusat pengajian tinggi, sekolah dan pusat perlindungan pelarian. – Agensi

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here