Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris ketika sidang media pada Festival Kesenian Islam Nasyid Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. Foto ABDULLAH YUSOF, 25 OKTOBER 2024.

IPOH – Seramai 17 orang warga China diambil keterangan petang tadi susulan insiden mengibarkan bendera negara mereka sewaktu perarakan yang diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris yang mengesahkan perkara itu berkata, warga China terbabit terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia antara 40 hingga 61 tahun serta tiga penganjur warga tempatan.

Menurutnya, polis telah mendapat kebenaran untuk menyiasat (OTI) yang dikeluarkan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menahan dan mengambil keterangan kesemua warga China terbabit.

“Kita hanya ambil keterangan warga China terbabit dan kertas siasatan akan dibawa kepada TPR untuk tindakan susulan.

“Salinan pasport mereka juga turut diambil dan kita akan menghubungi pihak kedutaan untuk memaklumkan status terkini siasatan.

“Selain itu, memang ada peserta yang membawa bendera Thailand dan Vietnam mewakili negara masing-masing. Kita juga mendapati seramai 200 peserta yang menyertai perarakan itu terdiri daripada pelbagai negara.

“Justeru, kita akan meneruskan siasatan dengan sama ada negara lain turut terlibat dalam perarakan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sewaktu Festival Kesenian Islam Nasyid Polis Diraja Malaysia (PDRM) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Jumaat.

Dalam pada itu, Azizi memaklumkan penganjur ada menghantar notis berhubung program tersebut  pada 2 Oktober lalu dan polis telah mengeluarkan syarat mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Bagaimanapun, oleh kerana mereka telah melanggar syarat, jadi hari ini kita ambil tindakan,” jelasnya.

Petang tadi, Azizi mengesahkan telah memanggil penganjur perarakan tersebut serta meminta mereka mengemukakan semua peserta warga asing yang dipercayai dari China untuk membantu siasatan.

Susulan itu, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) kerana mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam.

Perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam tadi dan disertai kira-kira 400 penonton.– MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here