Mohd Kamal Sabidi perlukan dana RM50,000 bagi menjalani pembedahan trombektomi akibat diserang angin ahmar.

BUKIT MERTAJAM – Ketua unit pembungkusan sebuah kilang memerlukan bantuan daripada orang ramai berjumlah RM50,000 bagi menjalani pembedahan akibat diserang angin ahmar.

Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, Mohd Kamal Sabidi Hamid, 49, yang menetap di Serdang, Kedah itu diserang strok semasa bekerja.

“Dia tiba-tiba menjadi lemah dan jatuh ke lantai sebelum dikejarkan ke hospital oleh rakan tempat kerja.

“Hasil pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami tekanan darah tinggi dan disahkan diserang strok.

“Mohd Kamal Sabidi perlu menjalani pembedahan trombektomi dengan segera, namun keluarganya tidak mampu menanggung kos tersebut,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambahnya, keluarga Mohd Kamal Sabidi kemudian tampil ke pejabat One Hope Charity & Welfare untuk memohon bantuan termasuk membantunya mengumpul dana.

“Hasil siasatan kita mendapati lelaki itu bekerja di bahagian pembungkusan kilang sejak 30 tahun lalu manakala isterinya, Hamisyon Khadir,53, seorang suri rumah.

“Pasangan itu mempunyai tiga orang anak berumur 18 hingga 25 tahun ada yang baru habis sekolah atau baru bekerja dan tidak mampu menanggung kos yang besar itu,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare, nombor akaun 3201428817 atau melalui laman web www.onehopecharity.org.

Untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi talian hotline 04 539 9212, 016 419 2192, 019 232 2192, 018 911 4192. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here