Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil.

PUTRAJAYA – Kerajaan dijangka membentangkan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian pada awal Disember ini untuk bacaan kali kedua di Parlimen.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dipersetujui Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bagi mengekang buli siber yang kian merunsingkan.

“Antara pindaan yang telah diluluskan secara dasar adalah siri pindaan kepada kanun keseksaan juga kanun tatacara jenayah berkaitan isu buli siber dan satu pindaan RUU akan dibawa ke Parlimen dalam mesyuarat kali ini.

“Selain daripada itu, RUU Keselamatan Dalam Talian atau online safety act juga dibawa ke Parlimen untuk memastikan bahawa dari segi, secara keseluruhannya internet kita menjadi lebih selamat terutama kepada kanak-kanak dan keluarga,” katanya dalam sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi menambah, tindakan tersebut dilakukan bagi menutup kelompangan (lacuna) yang wujud dalam undang-undang sedia ada.

“Secara keseluruhan ini adalah langkah yang perlu kita ambil untuk menutup kelompongan atau lacuna in the law untuk kita mengambil tindakan lebih tegas terhadap mereka yang merupakan pembuli siber .

“Ini kerana dapatan kajian yang dilakukan kerajaan menunjukkan tidak ada takrif yang tepat bagi jenayah buli termasuk buli siber dan ini akan dibawa dalam sidang parlimen kali ini,” jelasnya.

Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri menggesa RUU Keselamatan Dalam Talian digubal bagi  mengurang ancaman buli siber yang semakin menggugat tata hidup bermasyarakat.

Datuk Seri Anwar Ibrahim bekata, ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan turut bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap keselamatan khususnya membabitkan kanak-kanak. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here