PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima baik permohonan maaf secara terbuka Datuk Seri Najib Razak kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

“Kita terima baik (permohonan maaf bekas Perdana Menteri),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Ar-Rahman Presint 16, di sini, hari ini.

Semalam, Najiib membuat kenyataan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia berhubung skandal yang melibatkan 1MDB semasa beliau menjawat jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar, bekas Perdana Menteri itu mendakwa telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikulnya walaupun dengan jelas beliau bukanlah dalang kepada skandal itu.

Najib berkata, beliau tidak pernah sekalipun bersengkongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low yang merupakan individu utama dalam kes tersebut.

‘’Saya tidak sepatutnya menjadi mangsa dari segi undang-undang. Saya masih lagi terkejut dengan mendalam apabila mengetahui kini kepincangan, perbuatan yang tidak bermoral dan tidak berperikemanusiaan serta pelanggaran undang-undang yang telah berlaku di 1MDB.

‘’Saya amat kesal dengan apa yang telah berlaku di SRC dan 1MDB. Namun dipertanggungjawabkan secara undang-undang untuk perkara yang saya tidak mulakan atau sengaja benarkan adalah tidak adil kepada saya.

“… dan saya berharap serta berdoa agar proses keadilan akan memihak kepada saya dan membuktikan saya tidak bersalah,’’ kata Mohamad Nizar ketika membacakan kenyataan bapanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam.

Dalam pada itu, dakwa Najib lagi beliau tidak sedar bahawa PetroSaudi telah mengalihkan dana 1MDB dan secara tidak sengaja menerima wang daripada dana tersebut yang telah dihantar oleh 1MDB kepada PetroSaudi.

Pada 2015, Najib dituduh menyalurkan lebih RM2.67 bilion daripada 1MDB kepada akaun bank miliknya sehingga mencetuskan kritikan yang meluas daripada rakyat Malaysia.

Najib didapati bersalah pada 2020 dan dijatuhi hukuman penjara serta denda berkaitan dengan penyelewengan terbabit. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here