Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap ketika ditemubual selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada seorang ibu empat orang anak, Hasmida Hamid yang mengalami kesulitan susulan empat orang anaknya tidak mempunyai sijil kelahiran di Hospital Kajang, Selangor. Foto SADIQ SANI, 25 OKTOBER 2024

KAJANG – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menepis tanggapan pihak-pihak tertentu kononnya cadangan undang-undang baharu berhubung tahanan di rumah hanya diberikan kepada bekas perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, cadangan undang-undang baharu berhubung perkara itu bertujuan memberi peluang kedua kepada pesalah kali pertama.

Malah katanya, sesiapa sahaja termasuk ahli akademik berhak memberikan pendapat masing-masing mengenai perkara itu, namun mereka tidak mengetahui hasrat kerajaan

“Ahli akademik berhak memberikan pendapat mereka tetapi mereka tidak tahu hasrat kerajaan.

“Ia bagi memberi peluang kedua kepada golongan seperti ibu tunggal miskin yang dipenjarakan selepas mencuri susu di pasar raya kerana terdesak. Ini yang saya fokuskan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan seorang ahli akademik yang mengatakan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Tahanan Rumah yang akan dibentangkan di Parlimen tahun depan harus mengecualikan sesiapa yang disabitkan kesalahan dalam kes yang mempunyai kepentingan awam.

Memetik laporan sebuah laman portal, Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muzaffar Syah Mallow  berkata, hanya mereka yang disabitkan dengan kesalahan ringan perlu diberi pertimbangan untuk tahanan rumah.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan bercadang untuk memperkenalkan undang-undang baharu yang membenarkan tahanan rumah sebagai hukuman alternatif bagi kesalahan tertentu.

Tiada peruntukan undang-undang untuk banduan menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, Seksyen 43 Akta Penjara 1995 membenarkan banduan dibebaskan dengan lesen, tertakluk kepada mana-mana peraturan yang dibuat oleh menteri dalam negeri.

Pengumuman mengenai RUU itu bagaimanapun menimbulkan kemarahan, dengan ramai yang membuat spekulasi bahawa undang-undang tersebut akan membuka jalan kepada Najib yang kini sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang berhubung kes SRC International untuk dibenarkan menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah.

Pada Ahad lalu, Saifuddin dilapor berkata, kira-kira 20,000 pesalah berkemungkinan akan dikenakan tahanan rumah di bawah RUU yang dicadangkan.

Ia memberi perhatian kepada pesalah pertama yang tidak melakukan jenayah besar termasuk wanita hamil, warga emas dan banduan kurang upaya.

Terdahulu hari ini, jurucakap Kerajaan Peraduan, Fahmi Fadzil dipetik menafikan sebarang kaitan antara Najib dengan pengumuman baru-baru ini mengenai rancangan untuk memperkenalkan undang-undang baharu itu. – MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here