Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil (lima, kiri) dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa (empat, kiri) ketika majlis pengumuman Logo Khusus Malaysia Madani selepas sidang media mingguan Menteri Komunikasi, di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA –  Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menafikan dakwaan bahawa kerajaan sedang merangka undang-undang baru yang membenarkan ‘tahanan rumah’ sebagai hukuman alternatif untuk kesalahan tertentu.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang (RUU) tersebut dibuat berdasarkan ekosistem secara keseluruhan dan mengikut peredaran zaman.

“Ini tidak betul, perbincangan yang dipengerusikan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri telah memberikan konteks menyeluruh mengenai pindaan kepada ataupun mewujudkan akta baharu berkaitan tahanan di rumah bermula seawal tahun lalu.

“Ia disebut sebagai peralihan pandangan kerajaan ‘punitive justice’ yang diamalkan sebelum ini kepada ‘restorative justice’ atau keadilan pemulihan kepada banduan.

“Banyak negara mengamalkan konsep ‘restorative justice’ dan kita pun ke arah itu. Dapatan awal, seperti saya sebutkan tadi, banduan-banduan ini lebih boleh diterima masyarakat.

“Bila mereka habiskan sisa penahanan mereka dalam komuniti, ia dapat membantu mengurangkan kos, beban dan tekanan kepada sistem sosial dalam negara bila kita dapat kawal kadar residivisme (melakukan jenayah berulang kali selepas bebas),” katanya dalam sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika menghadiri sidang media mingguan Menteri Komunikasi, di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah RUU tahanan di rumah dibuat bagi tujuan membebaskan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada penjara.

Dalam teks ucapan pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ada mengumumkan cadangan undang-undang baharu untuk memudahkan tahanan rumah.

Namun, perkara itu tidak dibacakan Anwar yang mana pesalah dicadangkan akan dikurung di lokasi sesuai seperti kediaman, rumah penjagaan, atau asrama pekerja di bawah syarat-syarat tertentu yang diawasi oleh Jabatan Penjara.

Susulan daripada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, lebih 20,000 banduan mungkin layak untuk tahanan rumah, iaitu pesalah kali pertama yang tidak melakukan jenayah berat, wanita hamil, warga emas dan orang kurang upaya.

Sementara itu, Fahmi berkata, RUU tahanan di rumah dilaksanakan bagi mengurangkan kesesakan di dalam penjara yang kini menempatkan lebih 82,000 banduan, iaitu melebihi kapasiti seramai 74,000 banduan.

Tambahnya, mereka yang bakal terlibat dalam RUU baharu itu adalah banduan yang kesnya tidak terlalu berat dan hukumannya tidak lebih daripada sejumlah tahun yang akan diputuskan kelak.

“Pada tahun lalu diadakan projek rintis yang mana 5,000 orang (banduan) telah menjalani proses rehabilitasi dalam komuniti dan ada dikalangan mereka yang dikenakan beberapa syarat, kehadiran wajib dan dibebaskan awal.

“Niatnya adalah untuk mengurangkan keberangkalian pelaku-pelaku ini kembali ke penjara setelah mereka dibebaskan yang disebut sebagai residivisme,” jelasnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here