Muhammad Faris Arriffin

KUALA LUMPUR – Pengurus Besar Pertubuan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Faris Arriffin hari ini mengeluarkan Surat Tuntutan (LOD) kepada pihak yang bertanggungjawab menyebarkan tuduhan palsu mengaitkannya dengan salah guna kewangan pertubuhan itu.

Beliau berkata, pasukan guamannya sedang mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi melindungi integriti NAFAS dan reputasi profesionalnya.

“Saya kekal komited terhadap agenda reformasi di NAFAS, memastikan organisasi terus berkhidmat kepada komuniti pertanian dengan integriti dan tadbir urus yang kukuh.

“Saya yakin kebenaran akan terserlah, dan NAFAS akan terus maju ke hadapan dengan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Farris, NAFAS dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mengesahkan bahawa tuduhan tersebut melanggar prosedur undang-undang yang ditetapkan oleh Pejabat Pendaftar Pertubuhan Peladang.

NAFAS juga, katanya, telah menafikan penglibatan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh beberapa Ahli Jemaah Pengarah (AJP) dan laporan polis telah dibuat oleh bahagian Komunikasi Korporat NAFAS bagi menafikan kenyataan palsu tersebut.

Pejabat Pendaftar telah menegaskan bahawa tiada penggantungan atau keputusan mengenai kedudukannya boleh dikuatkuasakan tanpa mematuhi proses undang-undang.

“Ini membuktikan bahawa tuduhan tersebut tidak berasas dan tidak wajar,” katanya.

Beliau berkata, segala urusan pentadbiran dan pengurusan kewangan di NAFAS sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah diluluskan oleh AJP dan diaudit bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti sepenuhnya, selaras dengan Akta Pertubuhan Peladang.

Artikel berkaitan: Penggantungan Pengurus Besar Nafas tidak boleh dikuatkuasakan

Minggu lepas, Jemaah Pengarah NAFAS mengantung tugas Faris susulan beberapa penemuan pelanggaran tatakelola terkait pertubuhan itu yang merupakan dana milik ahli.

Bagaimanapun Faris mendakwa tuduhan terhadap dirinya berhubung dakwaan kesalahan tatakelola yang melibatkan salah guna kewangan pertubuhan itu dibuat sebelum sebarang proses semakan dalaman dimulakan.

Sehari kemudian, Pendaftar NAFAS dalam kenyataan susulan berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan rasmi berkaitan tugas Faris.

“Justeru, keputusan Mesyuarat Jemaah Pengarah Nafas pada 22 Oktober 2024 berkaitan penggantungan Pengurus Besar NAFAS tidak boleh dikuatkuasakan sehingga suatu pertimbangan dan keputusan muktamad dikeluarkan oleh Pendaftar,” katanya.

Malah, tindakan Ahli Jemaah Pengarah NAFAS mengeluarkan kenyataan media adalah tidak wajar, ujarnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here