Ahmad Fadhli Shaari

KUALA LUMPUR – Serahkan kewarganegaraan Malaysia jika benar-benar berminat untuk mengibarkan bendera negara lain semasa menyambut perayaan di negara ini, kata Ketua Penerangan Pas.

Menurut Ahmad Fadhli Shaari, tidak ada gunanya menghalang individu atau kumpulan terbabit untuk berbuat demikian kerana tingkah laku yang dipaparkan sudah jelas memperlihatkan ‘kecenderungan’ mereka.

Ahli Parlimen Pasir Putih itu menambah, jika ada menteri yang menyokong tindakan individu atau kumpulan terbabit mengibarkan bendera negara asing ketika waktu perayaan di negara ini juga wajar digugurkan kerakyatan.

“Jika ada warganegara Malaysia yang berminat nak kibarkan bendera lain ketika mana-mana perayaan, janganlah dihalang-halang, itu minat dan kecenderungan mereka.

“Syaratnya, serahkan kewarganegaraan itu dulu. Daftarlah sebagai warganegara di negara bendera yang mereka junjung itu. Ringan sikit bumi Malaysia.

“Jika ada Menteri pun yang sokong aktiviti ini, Menteri itu pun wajar dipecat kewarganegaraan,” katanya dalam kenyataan.

Kecoh di media sosial hari ini visual tindakan satu kumpulan mengibarkan bendera negara China di Dataran Menara Condong di Teluk Intan, Perak.

Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia telahpun memohon maaf atas insiden tersebut yang didakwa berlaku pada malam perarakan Guan Gong Sedunia semalam.

Pengerusi persatuan itu Soon Boon Hua berkata, tindakan mengibarkan bendera negara lain tidak dirancang dalam tentatif sedia ada oleh pihak pengelola.

Katanya, perbuatan itu dilakukan rombongan yang berasal dari China dan tidak membabitkan warga Malaysia.

Polis kini menjalankan siasatan lanjut di bawah Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perarakan tanpa permit polis dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mempamerkan lambang kebangsaan negara asing di tempat awam.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki tempatan pada 12.39 tengah malam tadi.

Perarakan yang berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari pukul 8 malam hingga 11.30 malam semalam, dan disertai kira-kira 400 penonton.

Beliau turut memaklumkan, perarakan itu diadakan tanpa permit.

Sebelum ini kecoh tindakan sekumpulan rakyat China mengibarkan bendera negara itu di dalam sebuah sekolah persendirian di Pulau Pinang.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN

Penganjur mohon maaf insiden kibar bendera China di Teluk Intan

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here