Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berucap pada Majlis Perasmian Dewan Serbaguna IPD Klang Selatan ketika di Balai Polis Pandamaran Klang. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2024.

KLANG – Seorang lelaki warga China nyaris diculik sekumpulan penjenayah dalam kejadian di Sepang, 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, sindiket penculikan yang didalangi warga China itu, menggunakan taktik kononnya mangsa berhutang dan memeras ugut keluarga mangsa dengan meminta wang tebusan kira-kira RM300,000.

Bagaimanapun, rancangan itu gagal apabila mangsa yang dikurung di sebuah lokasi di ibu negara, berjaya melepaskan diri.

“Kejadian berlaku apabila kenderaan dinaiki mangsa ditahan berdekatan Plaza Tol Putrajaya sebelum empat lelaki warga asing bertindak menculik dan membawa mangsa menggunakan sebuah kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan pada Jumaat.

Terdahulu katanya, mangsa dipercayai diculik sekumpulan individu yang terdiri daripada lima lelaki termasuk seorang warga tempatan ketika dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki perkhidmatan e-hailing.

“Mangsa bagaimanapun berjaya melepaskan diri dengan terjun daripada bangunan yang menjadi lokasinya dikurung sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur,” tambahnya.

Menurut Hussein, kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 40 tahun berjaya ditahan pada  19 dan 22 Oktober lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here