Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr Dominic Lau.

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan gaji minimum sekiranya tidak ditangani dengan baik boleh memberi kesan buruk khususnya peningkatan inflasi.

Akibatnya, kata Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau, para pekerja bukan sahaja tidak dapat menikmati hasil peningkatan pendapatan, malah menerima kesan daripada kenaikan kos sara hidup.

Jelas beliau, tidak semua syarikat perniagaan di negara ini merupakan syarikat gergasi yang mendapat keuntungan berjuta-juta atau berbilion ringgit yang mampu melaksanakan gaji minimum.

Malah, tambahnya, kebanyakan syarikat perniagaan di negara ini adalah bertaraf perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mungkin tidak dapat menyerap kenaikan kos akibat pelaksanaan gaji minimum, sekali gus boleh menjejaskan operasi harian mereka.

“Pelaksanaan gaji minimum dilihat mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kuasa membeli pengguna, tetapi ia tidak sepatutnya membebankan majikan.

“Langkah kerajaan menetapkan gaji minimum jika dirancang dengan lebih teliti dan sempurna, bukan sahaja menguntungkan majikan dan pekerja, malah kerajaan turut mendapat hasil,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Dominic turut merujuk kenyataan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) yang mana langkah mewajibkan pekerja asing mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan pelaksanaan gaji minimum akan menyebabkan pengusaha industri pembuatan menanggung pertambahan kos gaji sebanyak 27 peratus.

Selain itu, katanya, pengusaha industri juga bakal terkesan dengan pelarasan subsidi bahan serta peningkatan cukai SST dan kos-kos lain.

“Daripada maklumat yang diterima, langkah mewajibkan pekerja asing mencarum KWSP dan perlaksanaan gaji minimum akan memberi kesan kepada peningkatan kos pengusaha IKS.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu mencari mekanisme yang lebih baik agar pekerja dan majikan berada dalam situasi menang-menang,” katanya.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here