Teresa Kok (kiri) dan Dr. Muhamad Akmal Saleh

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP merangkap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok sudah memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Menurut peguam mewakili Teresa, Tetuan SN Nair & Partners, pihaknya sudah menyerahkan writ saman dan pernyataan tuntutan kepada Dr Akmal.

Difahamkan Teresa telah menuntut ganti rugi RM25 juta serta kos-kos lain dalam surat tuntutannya kepada Dr Akmal.

Ini berkaitan berhubung kenyataan fitnah oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di Melaka dalam video di aplikasi TikTok, pada 7 September lalu.

Dalam tuntutannya, Teresa memohon injunksi untuk menghalang Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri itu, daripada terus menyebut, menulis atau menerbitkan perkataan yang memfitnahnya serta relif lain yang difikirkan adil serta sesuai oleh mahkamah.

Dakwa pemimpin DAP veteran itu, kenyataan Muhamad Akmal menggambarkannya tidak mempunyai pengetahuan khususnya mengenai pensijilan halal dan menentang dasar kerajaan mengenai amalan Islam.

“Perkataan fitnah defendan memberi bayangan bahawa saya telah mengancam Islam dan amalannya di Malaysia selepas isu pelaksanaan dan penguatkuasaan pensijilan halal diperkatakan.

“Defendan juga memberi gambaran bahawa saya sebagai seorang individu haram selain meminta kerajaan untuk menampal label haram di dahi,” katanya.

Peguam Teresa, Datuk Sankara Nair sebelum ini berkata, berdasarkan dokumen surat tuntutan (LOD), kenyataan fitnah dalam video di aplikasi sosial, telah merujuk anak guamnya secara langsung dan tidak langsung, dengan gelaran yang jelik. 

Kenyataan Dr Akmal itu juga telah ditonton lebih 720,500 kali, dengan tanda suka sebanyak 75,000, 9,314 komen, 6,162 kegemaran dan sejumlah 8,784 perkongsian dan telah diterbitkan semula melalui pelbagai saluran media sosial termasuk portal berita. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here