Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil ketika menghadiri sidang media mingguan Menteri Komunikasi, di Kementerian Komunikasi, Putrajaya, hari ini.

PUTRAJAYA – Tiada perbincangan di dalam Mesyuarat Kabinet hari ini berhubung dakwaan sebuah syarikat GLC di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri membayar ‘bonus’ kepada seorang eksekutif tertinggi daripada indeks prestasi utama (KPI).

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau akan membawa perkara tersebut kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anawar Ibrahim dalam masa terdekat.

“Perkara ini tak dibincangkan dalam mesyuarat jemaah menteri hari ini tapi saya akan bawa ke perhatian yang amat berhormat perdana menteri,” katanya secara ringkas dalam sidang media mingguan di sini, hari ini.

Terdahulu, sebuah portal mendedahkan minit mesyuarat daripada sebuah GLC JPM menjadi tumpuan apabila timbul dakwaan bahawa ‘bonus’ dibayar kepada seorang eksekutif tertinggi walaupun syarikat itu hanya mencapai kurang separuh daripada indeks prestasi utama (KPI).

Mesyuarat lembaga pengarah Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) awal tahun ini meluluskan pembayaran tiga bulan gaji pokok bersamaan RM210,000 kepada eksekutif berkenaan.

Menerusi tangkapan skrin minit mesyuarat itu di aplikasi X, ia membabitkan “bayaran khas” sebanyak 2.75 bulan dan  dengan tambahan bayaran 0.25 bulan.

Dalam perkembangan berasingan, kebimbangan berhubung cadangan kenaikan gaji minimum RM1,700 dan peningkatan sumbangan wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, keputusan lanjut berhubung perkara itu juga akan dibuat dalam sesi penggulungan Belanjawan 2025 di Parlimen, nanti.

“Ada dibincangkan beberapa aspek termasuk pandangan daripada pihak SME. Pandangan daripada beberapa syarikat yang mengusahakan ladang-ladang.

“Mengenai beberapa keputusan ataupun pengumuman yang telah dibuat sewaktu pembentangan belanjawan pada 18 Oktober lalu, Perdana Menteri telah dimaklumkan mengenai pandangan pandangan ini.

“Sudah pasti beliau akan mengambil kira dan kita tunggu sebarang keputusan sewaktu penggulungan nanti, insya-Allah dari pihak kementerian kewangan,” jelasnya.

Terdahulu, Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME) mengeluh berhubung cadangan kenaikan gaji minimum serta peningkatan sumbangan wajib KWSP yang diumumkan dalam Belanjawan 2025. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here