Bangunan Wisma Putra Kementerian Luar Negeri di Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2022.

KUALA LUMPUR- Kementerian Luar Negeri mengesahkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terjejas akibat Taufan Trami di Filipina.

Katanya, Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang memantau situasi terkini Taufan Kristine (Taufan Trami) yang telah membawa hujan lebat yang menyebabkan banjir besar dan tanah runtuh hingga mengakibatkan kematian, kecederaan dan pemindahan ratusan mangsa.

Setakat hari ini katanya, pergerakan angin taufan Kristine telah dikategorikan sebagai taufan tahap 2 dan masih aktif di sekitar kawasan Metro Manila serta di kebanyakan daerah di Luzon.

Taufan tersebut dijangka keluar dari kawasan tanggungjawab Filipina lewat hari ini.

Terkini, terdapat satu lagi taufan yang dinamakan “Leon”, kini berada 2,500 kilometer dari Visayas dan dijangka akan memasuki kawasan tanggungjawab Filipina menjelang Ahad, 27 Oktober 2024.

“Rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas dinasihatkan untuk terus berwaspada dan mengikuti perkembangan serta panduan terkini yang diberikan oleh pihak berkuasa tempatan.

“Rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar serta mengemas kini keberadaan dan maklumat mereka adalah digalakkan untuk berbuat sedemikian di https://ekonsular.kln.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Wisma Putra, rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila melalui butiran di bawah:

KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI MANILA

Alamat : Salcedo Village, 107 Tordesillas, Makati, 1227 Metro Manila, Philippines

No. Telefon :  +63 2 8662 8200 / 0917 864 0761

“Malaysia menzahirkan rasa takziah dan simpati kepada Kerajaan dan rakyat Filipina, khususnya kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat taufan tersebut.

“Kementerian ini sedang menyelaras dengan agensi-agensi berkaitan berhubung bantuan yang akan disalurkan kepada pihak Filipina,” kata kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette

 

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here