Ahmad Zahid bergambar bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di Brunei malam tadi. Gambar: Facebook Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi meluangkan masa bersama rakyat Malaysia yang bermastautin di Brunei.

Ahmad Zahid menghadiri majlis itu selepas usai Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (AMMDM) Kali Ke-12.

Pada majlis itu beliau meluangkan masa bersama diaspora yang terdiri daripada para profesional, ahli perniagaan dan pelajar Malaysia.

“Walaupun negara Brunei hanya bersempadan dengan Malaysia, namun ini kali pertama saya dapat bertentang mata bersama komuniti Malaysia di sini.

“Lebih 350 orang hadir dalam pertemuan ini, termasuk TYT Datuk Mohd Aini Atan, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei; Datuk Khairul Shahril Idrus, Ketua Pengarah NADMA; Azlan Ahmad, Presiden Persatuan Warga Malaysia di Brunei dan Mohd Taufik Abdul Rahim, Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Melayu Se-Malaysia.

“Saya faham, meskipun mereka selesa menetap di sini, namun kerinduan terhadap tanah air dan hidangan seperti mi goreng mamak, roti canai dan lontong pasti tetap dirasai,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid memaklumkan, pertemuan malam tadi lebih istimewa kerana dapat bertemu sahabat lama, Ustaz Zawawi Taib, yang kali terakhir ditemui sewaktu usia 17 tahun.

“Beliau telah berhijrah ke Brunei untuk mengajar di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah dan kekal di sana hingga bersara pada tahun 2005.

“Saya doakan Ustaz Zawawi dan seluruh diaspora Malaysia di Brunei sentiasa diberi kesihatan yang baik dan terus memberi sumbangan kepada masyarakat di sini.

“Terima kasih kepada semua yang hadir malam tadi. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Bandar Seri Begawan atas penganjuran majlis makan malam yang indah ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here