Reruai Advance Pact yang menyertai Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Advance Pact Sdn Bhd (Advance Pact), sebuah syarikat teknologi kejuruteraan biomedikal, fasiliti dan pembuatan peralatan perubatan kekal komited untuk mengukuhkan kedudukannya dalam industri kesihatan di Malaysia.

Pengarah Perkhidmatan Korporatnya, Zamri Mohamad berkata, pada masa ini Advance Pact menawarkan pelbagai perkhidmatan, antaranya pengurusan fasiliti, penyelenggaraan kejuruteraan biomedikal, dan khidmat perundingan yang merangkumi kajian kebolehlaksanaan dan perancangan perubatan.

Perkhidmatan lain perancangan ICT, reka bentuk seni bina, perancangan dan perolehan peralatan perubatan serta pengurusan projek.

Zamri Mohamad bercakap kepada media di Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2024.

Menurut beliau, Advance Pact disokong oleh unit-unit teknikal dalaman seperti BECTA, Red Rose Technology bagi penyelidikan dan pembangunan, AdvanceCalLab untuk kalibrasi, dan Advance Competency Certification Body (ACCB).

“Sistem perkhidmatan maklumat pengurusan aset bersepadu (CAMSIS), yang dibangunkan sendiri oleh Advance Pact telah memudahkan syarikat memantau dan menyelenggara aset di fasiliti kesihatan.

“Kita juga diiktiraf dengan pelbagai akreditasi ISO termasuk ISO 9001, 13485, 14001, 45001, 17025, dan yang terbaru ISO 37001,” katanya ketika ditemui pada Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di sini hari ini.

Menurut beliau, Advance Pact juga berdaftar dengan agensi-agensi kerajaan utama seperti Kementerian Kewangan (MOF), CIDB, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Lembaga Pelesenan Atom Malaysia (AELB) bagi memperkukuh kredibiliti syarikat sebagai pemain utama industri.

Pelawat diberikan penerangan di reruai Advance Pact di Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2024.

Katanya, sejak 2012, Advance Pact telah menerima pelbagai anugerah termasuk First 30 Teras Companies Under Teraju, Enterprise E50, International Arch of Europe Award, World Quality Award, Human Resource Award, dan SME Bank Perdana Award dan banyak lagi sekali gus membuktikan keunggulan syarikat dalam bidang ini.

Tambah Zamri, pada masa ini Advance Pact sedang melaksanakan penyelidikan dan inovasi dengan membangunkan ventilator buatan tempatan yang dalam ujian klinikal.

Pelancarannya disasarkan pada tahun depan, ujar beliau lagi.

“Advance Pact akan terus mengembangkan bidang kejuruteraan bioperubatan, pengurusan fasiliti, dan pembuatan peralatan perubatan, seiring dengan perkembangan industri kesihatan di Malaysia,” katanya.

Advance Pact antara syarikat yang menyertai MIH Megatrends 2024 yang berlangsung di Pusat Konvenysen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari, membuka reruai yang mempamerkan produk serta perkhidmatan.

Pameran kesihatan MIH Megatrends ini menghimpunkan golongan profesional penjagaan kesihatan, pemimpin industri dan penggubal dasar untuk menerajui penyelesaian dan kemajuan terkini dalam sektor penjagaan kesihatan.

Acara ini dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia dengan kerjasama KPJ Healthcare dan dengan sokongan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here