KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan perasmian Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 yang menghimpunkan lebih 1,500 pemain industri kesihatan.
Baginda berangkat tiba tepat jam 10 pagi dan disambut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Turut hadir Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Pengerusi KPJ Healthcare Bhd, Tan Sri Dr Ismail Bakar.
Sultan Ibrahim berkenan meluangkan masa sekitar 30 minit mengunjungi tapak pameran serta menyantuni peserta dan pempamer selepas perasmian.
Baginda kelihat begitu teruja untuk menyaksikan kemajuan dan trend terkini yang membentuk masa depan penjagaan kesihatan dalam MIH 2024.
Acara dianjurankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (MoH) dengan kerjasama KPJ Healthcare dan sokongan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Persidangan yang bermula semalam dan akan berakhir esok ini menghimpunkan golongan profesional penjagaan kesihatan, pemimpin industri dan penggubal dasar untuk menerajui penyelesaian dan kemajuan terkini dalam sektor penjagaan kesihatan. -MalaysiaGazette