Gambar hiasan

KUALA LUMPUR –  Bursa Malaysia dijangka mencatatkan dagangan dalam julat kecil minggu depan berikutan pelabur mengambil langkah berhati-hati dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik, kata penganalisis.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata, ketidaktentuan geopolitik khususnya pilihan raya umum Jepun akan datang dan pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) akan mempengaruhi sentimen pasaran.

Beliau berkata, keputusan pilihan raya Jepun mungkin mengurangkan sebahagian ketidaktentuan serantau kerana hal itu boleh memberikan implikasi besar terhadap dasar monetari Bank of Japan (BoJ).

“Kenaikan kadar BoJ kepada 0.25 peratus baru-baru ini telah meningkatkan kos pinjaman. Ini juga telah mengurangkan daya tarikan yen bagi pelabur yang meminjam modal dalam denominasi mata wang itu dan menyebabkan penurunan yang lebih ketara dalam pasaran saham global.

“Memandangkan ketidaktentuan serantau dan global semasa, kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) didagangkan dalam julat 1,640 hingga 1,645 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, Mohd Sedek tetap optimis bahawa sektor seperti teknologi, pembinaan dan produk pengguna akan terus mengalami pertumbuhan.

Sementara itu, tekanan jualan dalam utiliti minggu ini berkemungkinan menarik kalangan pembeli saham murah, memberikan peluang pelaburan yang berpotensi, katanya.

Selain itu, perubahan nada berkaitan dasar oleh bank pusat di peringkat global boleh memberikan manfaat kepada sektor teknologi dan sektor bermodal kecil Malaysia.

“Pengurangan kadar suku mata oleh Rizab Persekutuan AS dijangka bulan depan, walaupun jangkaan terhadap  pengurangan tambahan pada Disember telah menjadi sederhana.

“Prospek kadar faedah rendah ini boleh memberikan kelegaan kepada sektor yang sensitif terhadap pertumbuhan, terutama jika kos pinjaman stabil dan sentimen risiko bertambah baik,” katanya.

Sementara itu, bursa tempatan mengalami dagangan rendah sepanjang minggu ini, selari dengan prestasi Wall Street dan pasaran serantau.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI susut 27.69 mata kepada 1,618.30 daripada 1,645.99 pada minggu lepas.

Di papan indeks Bursa Malaysia, Indeks FBM Emas susut 146.91 mata kepada 12,220.62, Indeks FBM 70 turun 0.96 mata kepada 17,714.67, Indeks FBMT 100 merosot 145.63 mata kepada 11,921.94, Indeks FBM Emas Syariah menguncup 76.97 mata kepada 12,199.98, dan Indeks FBM ACE kurang 19.79 mata kepada 5,101.01.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 206.53 mata kepada 19,262.03, Indeks Tenaga kurang 8.0 mata kepada 846.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.70 mata kepada 175.72, namun Indeks Perladangan meningkat 26.05 mata kepada 7,299.58.

Jumlah dagangan meningkat kepada 14.05 bilion unit bernilai RM11.74 bilion daripada 13.10 bilion unit bernilai RM12.87 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menokok kepada 7.69 bilion saham bernilai RM10.41 bilion daripada 6.88 bilion saham bernilai RM11.67 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran sebanyak 4.36 bilion unit bernilai RM649.09 juta berbanding 4.08 bilion unit bernilai RM660.53 juta sebelum ini.

Jumlah Pasaran ACE susut kepada 1.98 bilion saham bernilai RM679.27 juta daripada 2.12 bilion saham bernilai RM617.58 juta sebelumnya. – BERNAMA

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here