Tangkap layar video yang tular dalam media sosial berhubung teguran merokok di sebuah restoran di Taman Perling, Johor Bahru

JOHOR BAHRU – Gara-gara menegur seorang pelanggan merokok dalam sebuah restoran di Taman Perling di sini, seorang lelaki diajak bergaduh dalam kejadian yang tular di platform X baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, seorang lelaki berusia 47 tahun membuat laporan kejadian itu pukul 11.6 petang kelmarin.

“Polis menerima laporan polis daripada lelaki itu yang juga merupakan pemilik akaun terbabit berkaitan kejadian itu untuk tindakan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Siasatan awal pihak polis mendapati kejadian berlaku di sebuah kedai dan tiada kata-kata ugutan terhadap pemilik akaun tersebut.

“Tiada kejadian pergaduhan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pihak polis memandang serius kejadian itu dan menasihati orang awam agar mematuhi arahan kerajaan dan undang-undang yang ditetapkan iaitu larangan merokok di tempat awam.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu katanya, diminta menyalurkan maklumat di talian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara 07-5563122.

Menerusi video berdurasi empt saat yang tular sejak semalam, lelaki yang meluahkan rasa kecewa dan memuat naik insiden tersebut dalam media sosialnya.

“MOH (Kementerian Kesihatan), @DrDzul (Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad), @PDRMsia (Polis Diraja Malaysia), @Marina _Ibrahims (Ahli Dewan Undangan Negeri Skudai, Marina Ibrahim), saya tegur dia jangan hisap rokok dalam restoran, dia boleh ajak saya lawan.”

Itu luahan lelaki berkenaan yang kecewa apabila tindakannya menegur pengunjung yang merokok dalam restoran terbabit dibalas dengan respons tidak sopan.– MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here