Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sejumlah 32,857.14 liter minuman keras dengan anggaran cukai RM2.8 juta dan menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Ipoh baru-baru ini. Foto Ihsan Jabatan Kastam Diraja Perak

IPOH – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak merampas sejumlah 32,857.14 liter minuman keras dengan anggaran cukai RM2.8 juta dan menahan tiga lelaki dalam tiga serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Ipoh baru-baru ini.

Pengarah Kastam Perak, Datuk Abdul Ghafar Mohamad berkata, seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan bagi membantu siasatan dalam serbuan yang dijalankan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu di sebuah premis di Bandar Sri Damansara, Kuala Lumpur, 14 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan dalam serbuan sekitar jam 4.30 petang itu menemui 6,100.6 liter arak pelbagai jenama membabitkan cukai dianggarkan RM557,346.26.

“Pada 18 Oktober lalu, dua serbuan dilakukan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Pengkalan Hulu di dua lokasi berasingan di Ipoh pada jam 1 dan 3.30 petang.

“Hasil pemeriksaan menemui 17,477.90 liter minuman keras pelbagai jenama dengan anggaran cukai berjumlah RM1,695,219.60 dan seorang lelaki berumur 43 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Sejumlah 9,278.64 liter minuman keras pelbagai jenama berjumlah RM557,346.06 ditemui dalam serbuan di sebuah lagi premis di sini.

“Menerusi serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan berusia 64 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kesemua premis terbabit dipercayai menyimpan arak disyaki barang tak berkastam bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Sehubungan itu, ketiga-tiga kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” jelasnya. – MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here