Hassan Abdul Karim

JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan kenyataan terbuka Datuk Seri Najib Razak yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai subjudis.

Beliau yang juga seorang peguam berpendapat, ini kerana perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi bekas Perdana Menteri imasih belum selesai.

“Kes yang masih subjudis dilarang dibawa ke khalayak umum kerana ia boleh mempengaruhi orang awam dan menghina hakim serta mahkamah. Bila Najib wajar meminta maaf secara terbuka?

“Kes 1MDB sudah sampai di peringkat akhir kes pendakwaan. Saksi-saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan. Pihak peguambela Najib telah menyoal balas saksi-saksi pendakwaan tersebut.

“Peguam dari pihak pendakwaan dan pembelaan masing-masing telah membentangkan hujahan masing-masing di hadapan Hakim.

“Kini adalah masa penting untuk Hakim membuat ‘maximum evaluation atau penilaian maksimum iaitu adakah pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya dalam kenyataan.

Dalam kenyataan dibacakan Mohamad Nizar, kelmarin, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB.

Selain itu, Najib kekal menyatakan beliau tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan eksekutif PetroSaudi.

Mengulas lanjut, Hassan berkata, adalah menjadi satu kesalahan daripaada segi undang-undang, malah boleh dikenakan hukuman kerana menghina mahkamah sekiranya ia dibincangkan dengan sengaja menyentuh merit atau intipati kes berkenaan.

“Pada perenggan dua kenyataan media itu dinyatakan bahawa Najib memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia. Pada perenggan terakhir, iaitu perenggan lapan, Najib menegaskan bahawa beliau tidak bersalah.

“Jadi di mana boleh dikatakan bahawa kenyataan media Najib itu menghina mahkamah kerana kes beliau masih subjudis dan belum diputuskan oleh mahkamah,” soalnya.

Menurutnya, ini dapat dilihat pada perenggan tiga, empat, lima, enam, tujuh dan lapan, Najib telah menyentuh merit kes atau intipati kes dengan mengemukakan alasan-alasan pembelaannya dari perenggan tiga hingga lapan.

Alasan-alasan yang dikemukakan Najib itu ujar beliau, sepatutnya telah dibentangkan oleh peguam bela Najib yang ramai itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

“Sistem undang-undang di Malaysia ialah perbicaraan jenayah tempatnya ialah di mahkamah di depan hakim bersama-sama pihak pendakwa raya dan peguam bela. Kes yang masih subjudis adalah dilarang dibawa ke khalayak umum, kerana ia boleh mempengaruhi orang awam dan menghina hakim serta mahkamah,” jelasnya.

Hassan berpandangan, sepatutnya peguam Najib wajar menasihati anak guam mereka agar tenang serta bersabar, sekali gus memberi kepercayaan kepada hakim dan mahkamah supaya berada dalam keadaan tenang tanpa sebarang tekanan untuk membuat keputusan.

Ketika ini, beliau berkata, tiada siapa termasuk Najib atau wakil iaitu anaknya, di luar mahkamah secara terbuka di hadapan media cuba mempengaruhi hakim, mahkamah atau orang awam supaya bersetuju memihak Najib berdasarkan alasan pembelaan dalam kenyataan media berkenaan.

“Alasan untuk meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, boleh dibuat dalam mahkamah, di hadapan hakim selepas keputusan dibuat oleh hakim sama ada Najib dalam kes 1MDB ini diperintahkan membela diri ataupun dilepaskan dan dibebaskan (sekiranya pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie).

“Jadi, apa yang dilakukan Najib membuat kenyataan media setakat memohon maaf tidaklah salah.

“Namun dalam kenyataan media yang sama apabila Najib menghuraikan alasan-alasan pembelaannya yang jelas menyentuh merit dan intipati kes beliau, maka itu adalah salah kerana menghina mahkamah (contempt of court) berikutan kesnya masih belum lagi diputuskan oleh hakim,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here