Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melawat tapak pameran Advance Pact di Persidangan Kesihatan Antarabangsa Malaysia (MIH) Megatrends 2024 ketika di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersifat 3R (raja, agama, kaum) dalam isu pengibaran bendera asing semasa perarakan di Dataran Menara Condong, Teluk Intan baru-baru ini.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, beliau sendiri ada terbaca beberapa komen bersifat hasutan dan perkauman oleh segelintir pihak di media sosial.

“Saya sudah serahkan sepenuhnya isu itu kepada polis untuk menjalankan siasatan. 

“Banyak komen bersifat 3R yang berlegar di media sosial mengenai isu ini dan saya ingin mengingatkan, elakkanlah daripada mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terutama membabitkan isu perkauman.

“MCMC dan polis sedang teliti dan bekerjasama untuk kenalpasti mereka yang cuba menghasut dalam isu ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, seramai 17 peserta warga China yang terlibat dalam sambutan Guan Gong Sedunia, Stesen Malaysia dipanggil polis untuk dirakam keterangan.

Perarakan yang berunsurkan keagamaan dan membabitkan perarakan kereta berhias itu berlangsung dari jam 8 malam hingga 11.30 malam kelmarin dan disaksikan kira-kira 400 penonton.

Terdahulu, Persatuan Kebudayaan Guan Gong Malaysia memohon maaf atas insiden pengibaran bendera China oleh salah satu rombongan pada malam perarakan Guan Gong Sedunia. -MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here