Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kopenas Kali ke-38 di Kuantan hari ini

KUANTAN – Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (Kopenas) memperkenalkan platform digital koperasi melalui aplikasi School Transformation E-Platforms (STEP) selaras dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan semasa.

Pengerusinya, Jumat Mat Lani berkata, Kopenas telah menjalinkan kerjasama dengan VX Technica menerusi aplikasi STEP bagi menggerakkan 600 buah koperasi sekolah di negara ini

”Program ini bertujuan untuk mentransformasikan operasi koperasi di lebih 600 buah sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia, sekaligus memodenkan sistem pengurusan inventori, transaksi, dan pelaporan dengan lebih cekap dan selamat.

”Kopenas kini aktif memperkukuhkan proses kerja serta sistem operasi kakitangannya bagi memastikan pengembangan koperasi ini ke seluruh Malaysia berjalan lancar tanpa halangan,” katanya.

Selain itu katanya, pertambahan bilangan kakitangan tetap daripada 12 kepada 27 orang dalam tempoh hanya empat tahun jelas mencerminkan pertumbuhan yang pesat dan stabil.

Beliau berkata demikian selepas Mesyuarat Agung Tahunan Kopenas Kali Ke-38, di sini hari ini.

Mesyuarat dirasmikan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Kopenas yang meraikan ulang tahun ke-40 hari ini mempunyai keanggotaan berdaftar seramai 35,244 kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Selain memfokuskan perniagaan berasaskan koperasi, Kopenas juga terbabit dalam sektor pelaburan hartanah.

Jumat berkata,  peruntukan sebanyak RM815 juta disalurkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) diharap dapat membantu gerakan koperasi menerusi Belanjawan 2025 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.

Peruntukan tersebut terdiri daripada RM263.1 juta untuk pengurusan dan RM551.9 juta untuk pembangunan, yang akan membuka ruang bagi koperasi seperti Kopenas untuk mengembangkan lagi aktiviti perniagaannya serta memperkukuhkan daya saingnya di peringkat nasional.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast