Ahmad (tengah) dalam program Pengamalan Sakinah Daerah Pontian di Pekan Nanas, Pontian, hari ini

PONTIAN – Tindakan Datuk Seri Najib Razak membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dianggap sebagai tindakan berjiwa besar.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yakin bekas Perdana Menteri itu tidak bersalah dan telah diperdayakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Kenyataan maaf yang dibaca anak sulungnya, Datuk Mohamad Nizar itu, secara tidak langsung membuatkan rakyat semakin memahami, beliau merupakan mangsa yang diperdaya oleh tipu helah.

“Rabu depan, merupakan keputusan sama ada beliau perlu membela diri dalam kes rasuah 1MDB.

“Kita pulangkan kepada mahkamah sama ada beliau perlu bela diri atau tidak, tetapi rakyat semakin faham kes ini,” katanya ditemui di Bangunan UMNO Pontian di sini hari ini.

Sebelum ini, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia menerusi kenyataan dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar berhubung salah laku yang berlaku dalam 1MDB terutama ketika di bawah pengawasannya selaku Menteri Kewangan dan Perdana Menteri.

Mohamad Nizar, 46, berkata, setiap hari bapanya berasa amat terluka apabila mengetahui kecurangan yang berlaku dalam syarikat strategik negara terbabit, terjadi semasa di bawah pengawasannya sebagai menteri.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Peramu Jaya itu, adalah jelas bapanya bukan dalang skandal 1MDB dan tidak pernah bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, namun Najib telah dihukum atas tanggungjawab yang dipikul.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya itu berharap agar dalang utama yang sebenar dalam kes SRC dan 1MDB dapat dibawa ke muka pengadilan secepat mungkin.

“Saya sentiasa merujuk dan mengikuti kes Najib, saya harap beliau diberikan keadilan dlm kes ni.

“Semoga keadilan sewajarnya diberikan kepada Datuk Seri Najib di mahkamah kelak,” katanya. – MalaysiaGazette

1MDB: Saya bukan dalang, mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia – Najib

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here