Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu melancarkan Inisiatif Pendigitalan KPKT pada Perasmian Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2024 di Petaling Jaya, Selangor. Foto SADIQ SANI, 26 OKTOBER 2024

PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) perlu melaksanakan pembangunan kehidupan bandar berkonsepkan kelestarian melalui konsep Bandar Pintar atau Smart Cities di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu bagi mendepani isu dan masalah perbandaran seperti kesesakan penduduk, pencemaran alam sekitar, kebersihan dan bencana alam secara lebih berkesan.

Katanya, Sustainable Cities (Bandar Lestari) ini akan merangkumi bukan sahaja mobiliti, infrastruktur tetapi juga melibatkan isu pengaliran air yang sistematik selain PBT perlu memastikan tenaga hijau digunakan supaya kerajaan dapat menjimatkan pelepasan karbon.

“Pada masa sama, kedua adalah perlu mencari kaedah menguruskan bekalan air supaya air yang digunakan dapat diproses dan digunakan semula agar ia tidak menyebabkan banjir menerusi pengaliran air ke seluruh kawasan.

“Ini sangat penting dan rumit sebenarnya dan kita juga berdepan cabaran perubahan iklim dan hujan yang makin banyak dan juga masalah banjir kilat.

“Ketiganya, kita juga perlu menggunakan sistem pengangkutan pintar untuk kita memudahkan perancangan perjalanan kita dan ini antara cabaran masa akan datang yang perlu dipandang serius kerana jika tidak ia akan memberi tekanan kepada kehidupan rakyat yang dibebani kesesakan dan menyebaban tekanan mental dan jiwa,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Fadilah berkata demikian selepas hadir merasmikan KOnvensyen PBT 2024 bertema Sinergi Madani Perkukuh PBT di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya yang menghimpunkan 140 PBT terdiri daripada 1115 peserta dalam kalangan Datuk Bandar dan Yang di-Pertua.

Terdahulu dalam ucapan perasmian beliau turut meminta PBT agar mempergiatkan pelaksanaan pendigitalan di peringkat untuk meningkatkan penerimaan digital (digital adoption) dengan mentransformasikan perubahan minda daripada amalan konvensional yang memerlukan rakyat berkunjung ke kaunter agensi kerajaan wajar diubah kepada kebiasaan baharu dengan memperkasakan penggunaan sistem secara dalam talian.

Namun begitu,beliau menambah bahawa sekadar pelaksanaan teknologi sahaja tidak mencukupi dan lebih penting adalah mentaliti dan budaya kerja yang diterapkan dalam setiap lapisan pentadbiran.

“Amanah, integriti, dan akauntabiliti perlu menjadi tonggak utama dalam pentadbiran PBT untuk memastikan setiap dasar dan keputusan yang dibuat adalah berdasarkan prinsip keadilan dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya.-MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here