Pengarah JSJK, Datuk Sri Ramli Mohamed Yoosuf.

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesahkan sedang menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) terhadap sebuah syarikat milik warga tempatan.

Pengarah JSJK, Datuk Sri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, syarikat itu didakwa menyeleweng wang program latihan penerbangan yang sepatutnya dibayar kepada sebuah akademi penerbangan di luar negara.

“Nilai kerugian dalam kes itu dianggarkan berjumlah RM2.4 juta. Kita juga menerima 10 laporan polis lain daripada pihak pelatih yang terjejas susulan penyelewengan tersebut.

“Pegawai penyiasat dalam tindakan menyempurnakan beberapa arahan yang diberikan Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan siasatan ke situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Semalam, MARA menegaskan tindakan undang-undang membabitkan isu penyelewengan dana latihan juruterbang bernilai jutaan ringgit terhadap sebuah syarikat tempatan sedang dibicarakan di mahkamah.

Pengerusinya, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebelum ini MARA sudah membayar sejumlah RM2.4 juta untuk pembiayaan 39 pelajarnya kepada syarikat berkenaan yang bertindak menguruskan program latihan kadet juruterbang di Republik Czech.

Bagaimanapun, beliau berkata, syarikat itu gagal menunaikan tanggungjawab berkenaan menyebabkan MARA mengeluarkan tambahan kos.

Ia bagi membayar Lesen Juruterbang Komersial (CPL) terus kepada Pusat Latihan Penerbangan Czech (CATC) di Republik Czech bagi mengelak pembelajaran pelajar tajaannya terjejas.

Asyraf Wajdi berkata, isu penyelewengan itu berlaku pada 2018 dan pihak MARA sudah menghantar surat saman pada 2022 dan kes itu kini sedang dibicarakan sehingga kini.

Terdahulu, dilaporkan sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Shah Alam, yang menguruskan program latihan kadet juruterbang di Republik Czech, gagal menunaikan tanggungjawabnya.

Kegagalan syarikat itu memberi kesan kerugian kewangan besar kepada keluarga terutamanya pelajar yang menanggung sendiri yuran sepenuhnya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here