Ahmad (tengah) dalam program Pengamalan Sakinah Daerah Pontian di Pekan Nanas, Pontian, hari ini

PONTIAN – Kerja-kerja membaiki cerun yang runtuh di Jalan Simpang Pulai -Cameron Highlands menelan kos RM10 juta.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kos terbabit  merangkumi kerja-kerja membaiki kerosakan jalan raya supaya laluan berkenaan selamat digunakan.

“Saya telah minta Jurutera Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak dan Pahang supaya mengawasi keadaan supaya tindakan segera dapat dilakukan sekiranya berlaku runtuhan di kawasan lain.

“Begitu juga dengan Cawangan Kejuruteraan Cerun Kementerian Kerja Raya akan mengawasi runtuhan cerun terbabit.

“Mereka akan memberi laporan mengenai perkembangannya dari masa ke semasa kepada pengurusan tertinggi kementerian,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program Pengamalan Sakinah Daerah Pontian di Pekan Nanas di sini hari ini.

Polis  telah menutup sepenuhnya laluan di Kilometer 43.4 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands bermula Jumaat, susulan insiden tanah runtuh.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penutupan jalan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, taklimat mengenai kejadian tanah runtuh itu sudah diberikan Cawangan Kejuruteraan Cerun Kementerian Kerja Raya semasa mesyuarat pra kabinet semalam.

Katanya, tindakan membina laluan sementara perlu dilakukan memandangkan masih terdapat pergerakkan tanah yang menyebabkan laluan tersebut masih tidak boleh dibuka.

“Laluan sementara atau ‘alih arah’ perlu dibina bagi memastikan laluan penting ke Cameron Highlands tidak terputus kerana akan menjejaskan banyak pihak,” ujarnya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here