Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani

BATU PAHAT – Walaupun berhati-hati dan mengambil masa lebih setahun untuk ‘mengenali’ sebuah syarikat saham dalam talian sebelum melakukan pelaburan, seorang peniaga tetap berjaya ditipu dan mengalami kerugian RM100,000.

Semuanya bermula pada awal tahun lalu selepas mangsa iaitu warga emas berusia 68 tahun menerima mesej melalui aplikasi Whatsapp daripada seorang individu yang tidak dikenali.

Suspek memperkenalkan dirinya adalah merupakan wakil sebuah syarikat dari negara jiran.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek menawarkan kepada mangsa untuk menyertai pelaburan saham sebuah syarikat.

“Mangsa kemudiannya telah diberi penerangan berkenaan pelaburan saham syarikat tersebut dan mangsa dijanjikan akan memperoleh keuntungan besar sekiranya membuat pelaburan yang tinggi.

“Mangsa kemudiannya telah membuat carian berkaitan dengan syarikat tersebut dan mangsa telah mendapati bahawa syarikat tersebut adalah wujud,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa telah membuat pindahan wang ke dalam satu akaun bank milik syarikat tersebut sebanyak RM100,000 pada Selasa lalu.

Mangsa ujarnya, kemudian diberikan kata laluan pengguna untuk membuat urusan jual beli saham namun kemudian mendapatinya tidak dapat membuat apa-apa urusan jual beli saham dalam sistem pelaburan tersebut.

“Mangsa kemudiannya telah menghubungi pihak syarikat berkenaan untuk membuat semakan ke atas nama mangsa sama ada berdaftar atau tidak dengan syarikat tersebut.

“Mangsa kemdian telah dimaklumkan bahawa nama mangsa tiada tersenarai sebagai pemegang saham dalam syarikat berkenaan,” ujarnya.

Beliau berkata, warga emas tersebut kemudiannya mengesyaki telah ditipu dan mengalami kerugian berjumlah RM100,000.

Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan di Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendakwa ditipu.

Tambah Shahrulanuar Mushaddat, polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan promosi pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dan orang ramai juga boleh layari laman sosial Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersil,” katanya.- MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here