Lokasi kejadian bingkai simen pada bumbung dari tingkat tiga Kompleks Perniagaan Al Azim, Bukit Baru, Melaka yang jatuh sehingga mengorbankan nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun, Selasa lalu.

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) tidak menerima sebarang laporan mengenai kejadian serpihan binaan jatuh dari tingkat tiga bangunan Kompleks Perniagaan Al Azim, Bukit Baru, di sini, sebelum ini.

Datuk Bandarnya, Datuk Shadan Othman berkata, setakat ini hanya kejadian 22 Oktober lalu diterima apabila bingkai simen pada bumbung jatuh sehingga menghempap seorang kanak-kanak lelaki berusia 7 tahun menyebabkannya maut.

“Setakat ini tiada laporan (lain) diterima MBMB, kecuali coping atau bingkai simen yang jatuh pada malam 22 Oktober lalu,” katanya ringkas ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Shadan Othman

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan mengatakan insiden sama pernah berlaku sebanyak tiga kali sebelum ini namun tiada laporan dibuat kerana tidak melibatkan mangsa.

Khamis lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas ditimpa serpihan tembok simen yang pecah di bangunan berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam Selasa lalu, mangsa, Ong Lun Keat disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Kejadian 22 Oktober lalu adalah yang pertama dilaporkan kepada MBMB yang tidak menerima laporan insiden sama didakwa pernah berlaku sebelum ini.

Kejadian berlaku ketika mangsa dan adik lelakinya berusia lima tahun mengikuti bapa mereka, 42, untuk ke sebuah restoran makanan segera di bangunan tersebut.

Sementara itu tinjauan mendapati, pekerja di sebuah premis yang enggan dikenali meluahkan kebimbangan terhadap keselamatan bangunan berkenaan yang baru berusia 16 tahun.

“Tolonglah segera lakukan pemeriksaan keselamatan terhadap keseluruhan bangunan ini kerana bingkai simen yang jatuh itu rekahan dan pemasangannya sama dengan keseluruhan bangunan di sini dan bukanlah binaan ‘kosmetik’.

“Kalau satu tempat dah jatuh, tak mustahil bingkai sama di premis lain juga boleh jatuh di kawasan ini yang mempunyai beberapa bank menjadikannya tumpuan ribuan orang ramai berurusan setiap hari sehingga ke malam,” katanya. – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here