TEHRAN – Iran menafikan dakwaan bahawa Israel menyerang 20 lokasi di negara itu, malah jumlah bilangan yang disasar rejim zionis jauh lebih rendah.
Sumber berkata, serangan yang dilakukan di luar sempadan negara itu hanya menyebabkan kerosakan yang terhad.
Sumber itu turut mengesahkan laporan terdahulu yang menyatakan bahawa tiada pusat ketenteraan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) di Tehran menjadi sasaran.
“Laporan itu mendakwa bahawa 100 pesawat tentera Israel memainkan peranan dalam serangan juga satu penipuan, ketika Israel cuba memperbesarkan serangan yang lemah itu,” tambahnya.
Menurut kenyataan Pertahanan Udara Iran, Israel melakukan jenayah dengan meningkatkan ketegangan menerusi serangan di beberapa lokasi ketenteraan di wilayah Tehran, Khuzestan and Ilam, semalam.
Pertahanan Udara Iran turut memintas pencerobohan itu menyebabkan hanya kerosakan kecil berlaku di beberapa kawasan. – Agensi