Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyampaikan sumbangan kepada penduduk pada program Jelajah Peduli Ummah di Madrasatul Khairat, Desa Pandan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR –  Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disarankan mendahulukan bantuan kepada golongan berkeperluan di dalam negara berbanding rakyat negara luar.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga menasihati NGO di negara ini juga perlu lebih prihatin terhadap cabaran yang dihadapi golongan memerlukan serta menyarankan pemilihan kawasan setempat sebagai lokasi penyerahan bantuan.

Beliau menjelaskan, langkah memilih kawasan berhampiran akan membantu mengurangkan beban penerima yang mungkin tidak memiliki kenderaan atau menghadapi kekangan kewangan untuk menggunakan pengangkutan awam.

“Pemilihan lokaliti ini kita akan padankan dengan jenis sumbangan yang mahu disalurkan supaya semua masyarakat memerlukan dapat menikmati secara sama-rata. Kalau buat di lokaliti setempat lebih bagus, penerima tak perlu susah ke premis tertentu untuk terima bantuan.

“Kita kena peka dengan kesukaran penerima supaya tidak membebankan mereka, semata-mata untuk datang menerima bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media pada program Jelajah Peduli Ummah di Madrasatul Khairat, Desa Pandan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan wakil rakyat sangat penting sebagai pengantara menghubungkan NGO untuk menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan di kawasan masing-masing.

“Kalau NGO memerlukan asnaf atau golongan memerlukan, jadi kita tahu dekat mana mereka berada. Kita ketengahkan senarai bagi memastikan penerima memang bersesuaian dengan bentuk bantuan yang mahu dihulurkan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementeriannya kini sedang melakukan penilaian menyeluruh terhadap peranan setiap agensi di bawahnya bagi mengelak pertindihan tugas dan memastikan setiap agensi masih relevan dengan keperluan semasa.

Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bercakap kepada media selepas hadir pada program Jelajah Peduli Ummah di Madrasatul Khairat, Desa Pandan Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 27 OKTOBER 2024.

Katanya, sekiranya terdapat agensi yang didapati tidak lagi memenuhi tujuan asal, pihaknya akan mengadakan sesi libat urus bersama kakitangan agensi terbabit untuk membincangkan langkah seterusnya termasuk penempatan semula jika perlu.

“Ketika ini, tiada agensi khusus yang sudah dikenal pasti dan kita masih meneliti sama ada penggabungan boleh dilakukan atau tidak. Kalau ada dua atau tiga agensi sudah mengecil, mungkin kita boleh gabungkan menjadi satu,” jelasnya.

Turut hadir pada program itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby dan setiausaha agungnya, Kolonel Bersekutu (PA) Muhammad Faris Hussain.

Untuk rekod, Program Jelajah Peduli Ummah anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merupakan usaha untuk meringankan beban golongan asnaf dengan pengagihan kotak bantuan dan pek makanan. 

Program itu merupakan inisiatif besar melibatkan gabungan kerjasama pelbagai agensi iaitu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Cinta Gaza Malaysia (CGM), ZUS Coffee dan Yayasan Wakaf Malaysia (YWM).

Program Jelajah Peduli Ummah, anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) merupakan usaha untuk meringankan beban golongan asnaf dengan pengagihan kotak bantuan dan pek makanan.  – MalaysiaGazette

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here