JEMPOL — Seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah pacuan empat roda di Kilometer 0.5, Jalan Bahau-Rompin di sini pada tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata dalam kejadian 12.15 tengah malam itu berlaku ketika mangsa berusia 17 tahun menaiki motosikal jenis Yamaha EGO bersama rakan sebayanya dari arah Bahau menuju ke Rompin.
Beliau berkata motosikal mangsa bertembung dengan kereta jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang wanita berusia 60 tahun bersama tiga penumpang dari arah bertentangan.
“Akibat pelanggaran tersebut, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Rakan pemboncengnya pula mengalami kecederaan patah kaki kanan manakala pemandu kereta bersama tiga penumpangnya itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – BERNAMA